Tanggal 20 Mac 2023 menyaksikan sesi persekolahan baharu kembali dibuka dengan kehadiran semula murid ke sekolah untuk memulakan sesi persekolahan 2023/2024. Murid-murid kelihatan amat teruja ketika bertemu dengan kawan-kawan yang lama sudah tidak ditemui. Keterujaan itu bertambah apabila mereka menyaksikan banyak perubahan landskap sekolah yang menambah keceriaan sekolah.
Sebaik sahaja loceng dibunyikan tepat jam 7.25 pagi (sesi pagi) dan 1.25 petang (sesi petang), murid-murid telah berkumpul di Dataran Iltizam. Perhimpunan hari pertama telah bermula dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Selangor dan lagu sekolah serta diikuti lafaz ikrar oleh guru dan murid. Suasana bertambah meriah dengan kehadiran ibu bapa murid -murid Tahun 1 yang kelihatan sibuk melayan kerenah anak-anak mereka.
Selamat kembali ke sekolah kepada murid-murid SK Kebun Baharu. Semoga kehadiran sesi persekolahan baharu akan memberikan semangat untuk belajar dan mencapai kejayaan dalam pelajaran pada masa depan.